Cabutan bertuah motosikal, BN akan buat laporan polis

  • 4 years ago
BN akan membuat laporan polis terhadap apa yang didakwa sebagai pelanggaran Akta Pilihan Raya oleh parti kerajaan ketika kempen yang membuka tirainya Sabtu lalu.

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, berkata beliau akan meminta bilik gerakan BN untuk membuat laporan berhubung salah laku itu.

Katanya, ia berkaitan dengan cabutan bertuah berupa sebuah motosikal dan barangan lain pada sambutan Krismas yang diadakan di Pekan Membakut ketika kempen PRK Kimanis bermula.

"Ini jelas kesalahan mengikut Akta Pilihan Raya. Ini adalah salah kerana PRK sedang berlangsung di Parlimen Kimanis tapi mungkin kerana mereka tahu tidak akan ada tindakan maka perkara sebegini berleluasa.

"Bagi mereka itu semua halal kerana mereka berasakan mereka above the law (mengatasi undang-undang).

"Sebab itu banyak orang didakwa tapi dalam proses pendakwaan pun kes boleh dibuang begitu sahaja, yang sedang dibicarakan pun boleh lepas," katanya ketika ditemui di Kimanis, Sabtu lalu.

Program sambutan Krismas itu dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal, kelmarin.

Hadiah berupa 50 buah motosikal dan beberapa barangan lain yang didakwa disumbangkan oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis bermula pada Sabtu.