Mavcom boleh beroperasi paling kurang 6 bulan lagi sebelum gabung CAAM

  • 4 years ago
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) masih boleh beroperasi secara berasingan bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan lagi sebelum penggabungannya dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata masa selama beberapa bulan diperlukan bagi kerajaan memansuh dan meminda beberapa undang-undang, membincangkan tentang struktur dan bagaimana memindahkan peranan Mavcom kepada CAAM.

"Mavcom masih boleh beroperasi seperti biasa sehingga kami memansuhkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 di Parlimen dan sehingga saya memuktamadkan secara rasmi Mavcom tidak lagi beroperasi.

“Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kakitangan akan tetap datang ke pejabat, kerajaan akan membayar gaji mereka seperti biasa,” katanya sambil menambah kebajikan 59 kakitangan Mavcom akan dijaga.

Bercakap kepada media selepas pelancaran Hab Kargo Udara GTR di Sepang semalam, Loke berkata penggabungan itu akan menjadikan badan kawal selia Malaysia lebih cekap serta dapat mengurangkan kerenah birokrasi.

Penerbangan awam Malaysia hanya dikawal satu badan pada masa akan datang selepas penyatuan pengawal selia sedia ada - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).