Kerajaan dalam fasa perhalusi sistem, perisian e-tunai
  • 4 years ago
Kerajaan sedang dalam fasa menguji dan memperhalusi sistem dan perisian e-tunai rakyat bersama pekhidmat e-dompet (e-wallet) dan agensi kerajaan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata usaha itu selaras dengan garis masa yang ditetapkan dalam pelan projek itu bagi melaksanakannya pada Januari depan.

“Pelaksanaan inisiatif ini adalah di bawah penyeliaan Khazanah Nasional Bhd yang telah memperincikan sesuatu pelan projek. Khazanah Nasional Bhd juga akan umumkan pekhidmat e-wallet yang terlibat kelak.

“Kerajaan telah memperuntukkan sehingga RM450 juta kepada Khazanah Nasional yang akan memberi manfaat kepada 15 juta rakyat Malaysia,” katanya semasa Waktu-waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Lim menjawab pertanyaan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai status pelaksanaan pemberian RM30 kepada rakyat Malaysia menerusi perkhidmatan e-dompet yang akan bermula pada 1 Jan depan dan syarikat serta perkhidmatan e-dompet yang telah terpilih untuk melaksanakan pemberian itu.