'Zuraida akan fahami keputusan pemecatan kalau hadir mesyuarat parti'
  • 4 years ago
Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin hanya akan memahami keputusan memecat ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Zakaria Abdul Hamid sekiranya beliau hadir ke mesyuarat parti.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat semalam diberikan maklumat penuh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan terhadap Zakaria.

“Saya rasa kalau beliau hadir mesyuarat Biro Politik dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat semalam, maklumat penuh disampaikan kepada kami. Ia cukup jelas untuk tindakan tersebut (pecat) diambil.

“Jadi saya tegaskan sekali lagi, semua pimpinan lain hendaklah peringatkan diri sendiri untuk sentiasa hadir mesyuarat. Gunakan platform pertemuan parti untuk bincangkan perkara-perkara ini, bukannya keluarkan kenyataan dalam media.

“Bagi saya itu (membuat kenyataan media) tidak menyelesaikan masalah dan hanya akan merumitkan keadaan. Platform terbaik adalah dengan beliau hadir mesyuarat, saya tegaskan sekali lagi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.