Air mani gajah antara barang rampasan

  • 4 years ago
Air mani gajah antara yang dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam beberapa serbuan menerusi Ops Bersepadu Khazanah pada Sabtu dan Ahad lalu.

Operasi dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) itu membabitkan kawasan Hutan Simpan Labis, Johor; Kawasan Rezab Taman Negara Endau-Rompin, Johor; Gua Musang, Kelantan dan Hutan Simpan Ulu Muda, Kedah.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (GERAKAN) Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, operasi itu membabitkan 106 pegawai PERHILITAN serta 103 pegawai dan anggota PGA.

Katanya, antara barangan yang dirampas adalah air mani gajah, kuku, kantung dan taring harimau, kulit kijang, spesis orkid hutan serta pokok kacip fatimah.

“Susulan itu, kita menahan lapan lelaki iaitu lima warga tempatan, Indonesia (2) dan seorang warga Kemboja,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA PGA Datuk Mastor Mohd Ariff serta Timbalan Ketua Pengarah I (Konservasi) (PERHILITAN) Datuk Fakhrul Hatta Musa.