Respon Zahid desas desus ahli UMNO boikot majlis pengumuman calon BN
  • 4 years ago
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengakui timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi Umno susulan keputusan Barisan Nasional (BN) memilih Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai Wee Jeck Seng sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen berkenaan.

Zahid bagaimanapun berkata, isu tidak puas hati dalam kalangan ahli Umno itu kini sudah reda, bahkan percaya jentera Umno di Parlimen tersebut akan membantu kempen calon MCA itu selepas hari penamaan calon 2 Nov depan.

“Kami sudah lakukan mesyuarat koordinasi, biarpun sentimen itu cukup kuat di peringkat permulaan. Sudah cukup untuk meredakan rasa tidak puas hati itu dan mereka akan memenangkan calon MCA, yang mewakili BN dan tidak timbul masalah kaum dalam perkara ini,” katanya di Parlimen, hari ini.

Zahid berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan akhbar Berita Harian bahawa, ahli Umno bertindak memboikot majlis pengumuman calon BN semalam.