Ada lojik saranan pemberi maklumat ‘jangan cakap banyak’ - Bersih 2.0
  • 5 years ago
Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann menyambut baik saranan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya agar pemberi maklumat tidak terlalu banyak bercakap ketika membocorkan maklumat kepada orang awam dan media.

Bagaimanapun, katanya, SPRM juga perlu memberikan jaminan bahawa pemberi maklumat benar-benar dilindungi dan tidak pula disiasat atas maklumat yang disalurkan, seperti yang terjadi sebelum ini.

“Memang itu ada lojiknya. Kalau ada suatu isu yang hangat atau sensitif, maklumat harus diserah kepada pihak yang berkuasa untuk menyiasat, dalam kes ini SPRM.

“Tapi kita juga perlu jaminan daripada SPRM bahawa sebarang maklumat yang diserahkan akan disiasat, tak macam zaman dulu di mana pelapor yang jadi mangsa dan disiasat oleh SPRM atau pihak polis kerana membuat laporan.

“Jadi itu satu jaminan yang perlu diberikan kepada rakyat sebelum mereka buat laporan (sebagai pemberi maklumat),” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersih 2.0 di Petaling Jaya, hari ini.

Fann mengulas kenyataan Latheefa semalam, yang berkata bahawa SPRM berdepan beberapa masalah dengan pengadu tertentu yang mahu dilindungi di bawah program perlindungan pemberi maklumat tapi membocorkan segala maklumat kepada orang ramai termasuk media.

Katanya, sekiranya pemberi maklumat memerlukan perlindungan, maka SPRM mahukan komitmen mereka, kerana jika mereka "bercakap terlalu banyak, tidak akan membantu siasatan".

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 menyediakan ruang buat pihak yang mahu menyalurkan maklumat mengenai aktiviti berkaitan rasuah.

Mengikut akta ini, identiti pemberi maklumat akan dilindungi dan diberikan imuniti daripada sebarang tindakan sivil, jenayah ataupun displin berhubung pendedahan itu.