Apa pandangan orang ramai tentang peralihan kuasa Dr M kepada Anwar?

  • 5 years ago
Pada 31 July lalu,Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berikrar tidak akan memungkiri janji untuk menyerahkan pucuk kepimpinan negara kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Ini selepas saluran berita antarabangsa Turki TRT menyoalnya mengenai video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan kaitannya dengan rancangan peralihan kuasa.

Beliau juga yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara termasuk konsep ‘shared prosperity’ yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia.

Namun semalam, Dr Mahathir Mohamad mengulangi janjinya untuk melepaskan jawatan perdana menteri sebelum tamat tempoh penggalnya.

Walau bagaimanapun, mengulas soalan wartawan, pemimpin berusia 94 tahun itu secara berseloroh berkata beliau boleh dipaksa untuk melakukan sebaliknya.

"Kecuali mereka tolak saya ke satu sudut dan acu pistol ke kepala saya supaya saya kekal sampai habis penggal, jadi saya akan teruskan.

"(Tetapi) saya akan tunaikan janji saya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Persidangan Meja Bulat Bersama Komuniti Dewan Perniagaan Antarabangsa di Putrajaya baru-baru ini.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata, Dr Mahathir tidak wajar dipaksa melepaskan jawatan sebagai perdana menteri kerana beliau telah memimpin PH pada pilihan raya lalu dan dipilih majoriti rakyat.

Di samping itu, beliau juga pernah menyatakan bahawa Dr Mahathir tidak sepatutnya meletakkan jawatan jika hanya mahu memberi laluan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk mengambil alih jawatan tersebut.