Dr M rasmi pameran Marvel Studios, minat watak Thanos
  • 5 years ago
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sempat meluangkan masa merasmikan galeri pameran ‘Marvel Studios: Ten Years of Heroes Exhibition’ di Pavilion, ibu negara pada Khamis.

Dr Mahathir yang menamakan Thanos sebagai karektor kesukaannya berkata, beliau percaya pameran itu akan menarik kunjungan ramai, antaranya kerana ia menjelmakan karektor adiwira lengkap dengan kostum hebat masing-masing.

Pameran anjuran Walt Disney Company Southeast Asia bersama dengan Crave Alive and Beast Kingdom dengan kerjasama Maybank, Samsung Malaysia dan KLOOK itu berlangsung di tingkat 10, Pavilion, membawa pengunjung ke dunia pelbagai sensor Marvel Cinematic Universe, meraikan 10 tahun kemunculan filem-filem yang dihasilkan oleh Marvel Studios.

Bermula dengan filem Iron Man (2008), sehingga ke filem yang merekodkan kutipan pecah panggung tertinggi Avengers: Endgame (2019), semuanya yang dipaparkan menerusi 10 galeri di pameran itu, di samping menampilkan peralatan, kostum, serta konsep seni dari filemnya, dan pengalaman interaktif buat pengunjung.

Pengunjung juga berpeluang untuk membeli pelbagai barangan eksklusif, seperti kemeja-T, beg, serta cendera hati untuk koleksi peribadi, dan juga barang-barang yang dijual buat pertama kalinya di Malaysia.

Bayaran masuk ialah RM48 bagi dewasa dan RM28 bagi kanak-kanak.