MAICCI mahu jumpa Dr M, adu masalah peniaga asing di karnival
  • 5 years ago
Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) mempersoalkan tindakan kerajaan pusat yang memberikan kebenaran kepada peniaga asing untuk berniaga semasa karnival jualan dalam negara yang dilihat menjejaskan peniaga tempatan.

Presidennya, N Gobalakrishnan berkata tindakan agens-agensi kerajaan membenarkan peniaga-peniaga asing itu berniaga secara 'one-off' di karnival-karnival di seluruh negara mengakibatkan kerajaan kehilangan ratusan juta setiap tahun.

"Bagaimana kerajaan boleh 'halalkan' peniaga yang berniaga secara haram tanpa mempunyai lesen perniagaan dan juga menggunakan perkhidmatan pekerja asing tanpa izin (pati).

"Lebih mengecewakan menteri sendiri merasmikan karnival-karnival jualan sebegini tanpa menyedari akibatnya," katanya kepada pemberita pada sidang media di pejabat MAICCI, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Gobalakrishnan, penganjur karnival-karnival ini mensasarkan peniaga luar diberi tempat untuk berniaga selama 10 hingga 14 hari dengan bayaran RM8,000.

Gobalakrishnan berkata bahawa MAICCI tidak membantah penganjuran sebarang karnival tetapi, kerajaan perlu memastikan peniaga tempatan diberi keutamaan.

Beliau turut mendakwa kerajaan tidak ambil sebarang tindakan kerana penganjur karnival ini 'mesra' dengan beberapa menteri.