'Tommy, jangan kendalikan Jabatan Peguam Negara seperti firma guaman sendiri'
  • 5 years ago
Pembangkang mempertikaikan keputusan Peguam Negara Tommy Thomas yang mengarahkan peguam mewakili KPKT Syazlin Mansor menarik diri daripada inkues itu.

Takiyuddin berkata Jabatan Peguam Negara seharusnya mempertikaikan pelantikan Syazlin lebih awal dan bukannya ketika sesi inkues hampir tamat dan wujud pertikaikan diantara pengendali inkues dan peguam.

“Kenapa selepas lima bulan minta Syazlin tarik diri. Sebelum ini peguam yang hendak mewakili kuil Sri Maha Mariamman dibantah tetapi peguam mewakili Syazlin tidak pernah dibantah. Tommy bertindak di luar batasan kuasanya.

“Kita hendak beritahu Tommy, jangan kendalikan Jabatan Peguam Negara sebagai firma guamannya sendiri. Jabatan itu ada peraturan dan aturannya. Jangan buat perkara yang boleh menghilangkan keyakinan rakyat pada jabatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama pimpinan Umno di PWTC hari ini.

Syazlin Mansor dilantik mewakili KPKT dan bomba. Beliau merupakan salah seorang daripada pasukan lima peguam diketuai Mohd Kamaruzaman A Wahab yang mewakili keluarga Adib dalam inkues berkenaan.

Takiyuddin turut mempertikaikan sebab-sebab diberikan Tommy mengenai kepentingan dan keperluan Syazlin menarik diri daripada terlibat dari inkues.

Antara sebab diberikan peguam negara itu adalah, wujud konflik kepentingan memandangkan Syazlin merupakan isteri kepada setiausaha akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

“Saya rasa ia alasan yang tidak masuk akal, walaupun ia ada diletakkan sebagai alasan keempat Tommy. Syazlin adalah seorang peguam yang dilantik KPKT. Ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk Tommy desak dia tarik diri.

“Ia alasan tidak masuk akal. Kalau peguam itu isteri kepada menteri pun tidak ada masalah. Dia dilantik sebagai peguam profesional dan dia dilantik lakukan kerja pro bono. Ia pandangan dangkal dari Tommy,” katanya.