Pemaju, kontraktor Melayu projek PR1MA bakal gulung tikar

  • 5 years ago
Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mendedahkan pemaju dan kontraktor Bumiputera terjejas dan berdepan risiko gulung tikar selepas setahun Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) masih gagal menentukan hala tuju barunya.

Pengerusi Dewan Muda DPMM, Mohd Amin Ali Abd Latif, berkata lebih 30 peratus pemaju Bumiputera yang terbabit dengan projek PR1MA sudah mengeluarkan ratusan juta.

Modal awal dikeluarkan bagi urusan pembelian tanah dan permulaan projek.

"Lebih 30 pemaju dan kontraktor Melayu terbabit dengan projek PR1MA. Mereka datang kepada kami dan memaklumkan kerisauan mereka kerana selepas setahun PR1MA masih tiada hala tuju.

"Daripada jumlah itu, 15 pemaju atau pun kontraktor ini hadir bertemu kami. Ramai berdepan dengan masalah kewangan syarikat dan ada yang berdepan tindakan pihak bank.

"Setiap pemaju ini sudah mengeluarkan sekitar RM10 ke RM15 juta, jadi kami DPMM mahu mendapatkan penjelasan PR1MA berhubung isu ini," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

PR1MA diwujudkan sewaktu pentadbiran BN oleh bekas perdana menteri Najib Razak.