Masalah peserta Felcra semakin parah

  • 5 years ago
Wakil peserta Felcra Berhad memohon kepada kerajaan menyuntik dana RM930 juta bagi membantu menyelesaikan masalah mereka yang semakin parah.



Menurut Pengerusi Majlis ahli Parlimen Pakatan Harapan Johari Abdul, terdiri daripada dua iaitu RM80 juta merupakan bayaran bagi bantuan sara hidup kepada 21,519 daripada 120,000 peserta Felcra yang tertunggak sejak Ogos 2018 sehingga April 2019.



Manakala RM850 juta bagi tunggakan bayaran kepada kontraktor, dividen, dan koperasi.



“Saya melihat isu yang boleh dilihat iaitu salah urus tadbir.



“Mereka (peserta Felcra) menderita kerana tak tahu ada salah laku pengurusan di pihak atasan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.



Katanya, pada 2011 Felcra mempunyai aliran tunai sebanyak RM3 bilion. Namun, pada Jun 2018 jumlah tersebut berkurangan kepada RM300,000.



Johari mendakwa ia berikutan, wang tersebut telah dibazirkan kepada projek-projek dan program yang tidak diperlukan sewaktu pentadbiran BN sebelum ini.



Beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat ke mana aliran tunai tersebut dibelanjakan dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.



Beliau berkata demikian selepas menerima aduan daripada tiga wakil peserta Felcra yang turut hadir dalam sidang media itu.