Tiga pengarah MonSpace mengaku tidak bersalah terlibat Skim Piramid
  • 5 years ago
Tiga pengarah syarikat pelaburan multinasional MonSpace termasuk seorang wanita bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mempromosi dan menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen Skim Piramid, tahun lepas.

Datuk Seri Lai Chai Shuang, 49, Wong Tat Foong, 40, dan Chai Ling Mooi, 48, kesemuanya pengarah Syarikat Monspacemall Sdn Bhd membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, Lai selaku pengarah syarikat itu didakwa telah menyebabkan Skim Piramid dipromosikan iaitu Skim Monspace yang didakwa mengikut Seksyen 27B, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27B(2)(b) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM500,000 dan tidak lebih RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh atas jawatan sama didakwa telah menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa memegang suatu lesen yang sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Jualan Langsung di bawah Seksyen 6 Akta Juala Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(2)(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dua lagi pengarah syarikat tersebut iaitu Wong dan Chai masing-masing didakwa menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen yang sah dan mempromosi skim piramid mengikut seksyen sama.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di dua buah premis di Jalan Jalil 1, Bumi Bukit Jalil, Lebuhraya Sungai Besi - Puchong, di sini antara 14 Jun hingga 19 Julai 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Chiew King menawarkan ikat jamin RM1 juta terhadap Lai, RM50,000 kepada Wong dan RM500,000 terhadap Chai selain syarat tambahan supaya pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam Andy Yong Kim Seng memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan ketiga-tiga tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

"Kesemua anak guam saya juga turut memberikan kerjasama yang baik terhadap pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan," katanya.

Hakim Manira membenarkan Lai diikat jamin RM400,000, Wong RM20,000 dan Chai RM200,000 serta memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 14 Jun untuk sebutan semula kes. - Bernama