TERKINI: Tiada kontrak ikat wakil rakyat punca ramai keluar UMNO - Annuar Musa
  • 5 years ago
KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah memaksa wakil rakyatnya untuk kekal setia kepada parti Melayu itu kerana tiada sebarang perjanjian, kontrak mahupun baiah yang boleh mengikat mereka sebelum menjadi wakil rakyat.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, Barisan Nasional (BN) satu-satunya parti politik yang tidak mengamalkan dasar tersebut dan terpulang kepada diri wakil rakyat itu sendiri.

“Kita hormat apa juga keputusan dan seperti mana yang kita tahu BN satu-satunya parti yang tidak mengikat wakil rakyat kita, tiada kontrak, tiada perjanjian, tiada baiah dan tiada sebarang ikatan.

“Terpulang kepada diri masing-masing, cuma tinggal lagi dalam UMNO kerana wakil rakyat kita sentiasa dilamar

“Saya terima maklumat secara berterusan, orang berterusan mendekati ahli-ahli Parlimen dan ADUN kita dan sudah ada di antara mereka sudah buat keputusan menyeberang ke sana,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas tindakan ADUN Gua Chempedak, Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang mengambil keputusan untuk keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Bernama melaporkan perkara itu diumumkan Speaker DUN Kedah, Ahmad Kassim sebaik persidangan DUN bermula pagi ini.

Annuar selaku Ahli Parlimen Ketereh juga mengakui UMNO melalui saat yang sukar berdepan dengan tindakan wakil rakyatnya meninggalkan parti sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Kerajaan Persekutuan pada 9 Mei lalu.

“Sebab itu kita buat siri jelajah ke seluruh negara, wujudkan hubungan dan bincang dengan semua Ahli Parlimen dan wakil rakyat supaya lebih rasional dan kita kongsi maklumat.

“Jaga hubungan sahaja yang kita boleh buat sekarang ini dan kita tak boleh paksa mereka,” katanya.

Annuar berkata, UMNO tidak boleh menerima pelbagai alasan yang diberikan wakil rakyatnya apabila bertindak keluar parti semata-mata untuk menjaga kepentingan pengundi.

“Sebahagian wakil rakyat mereka hanya nampak, mereka perlukan peruntukan. Ada juga merasakan kalau tiada peruntukan sebagai pihak pembangkang maka sukar nak jalankan tanggungjawab mereka.

“Bagi sesetengah pihak lain, politik ini bukan sekadar beri perkhidmatan kepada rakyat ataupun membawa projek. Ia juga bergantung kepada soal prinsip soal pegangan,”

“Parti yang kita pilih biasanya sesuatu selari dengan keyakinan kita terhadap dasar-dasar parti itu,” katanya. – MalaysiaGazette

MalaysiaGazette.com - Online News / Portal - Follow US Now! Or visit www.malaysiagazette.com for the latest news on politics, economy, fashion, travel, lifestyle and more www.malaysiagazette.com