Paip air bangunan pecah, kren menara goyang... Gempa bumi gegar Filipina

  • 5 years ago
Gempa bumi 6.5 magnitud melanda wilayah timur Samar di tengah Filipina pada Selasa, demikian menurut agensi berita Xinhua, memetik Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs).

Kejadian berlaku pada 1.37 petang waktu tempatan pada kedalaman 63 km, kira-kira 19 km barat laut bandar San Julian di wilayah timur Samar.

Gegaran dirasai di beberapa bandar di tengah dan utara Filipina, termasuk Tacloban di wilayah Leyte, Catbalogan di Samar dan Masbate, Legazpi dan Sorsogon di rantau Bicol, selatan Manila.

Tiada kecederaan dan kerosakan dilaporkan setakat ini. .

Kejadian itu yang kedua melanda Filipina dalam tempoh kurang 24 jam. Pada Isnin, gempa bumi berukuran 6.1 magnitud menggegar pulau Luzon pada pukul 5.11 petang waktu tempatan, mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang dan mencederakan lebih 80 yang lain. - Bernama