Exco Johor akan dirombak, MB baru pilih yang selesa bekerjasama
  • 5 years ago
Barisan exco Johor akan dirombak dengan mengutamakan wakil rakyat yang memberikan kerjasama yang selesa, kata menteri besar Dr Sahruddin Jamal.

Beliau yang mengangkat sumpah hari ini berkata, rombakan barisan anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri itu adalah perkara biasa apabila berlaku pertukaran pucuk pimpinan bagi sesebuah kerajaan.

Katanya jika menteri besar sebelum ini, Osman Sapian, mempunyai pasukan tersendiri, hal yang sama juga berlaku pada beliau.

"Memang apabila terjadi perubahan pucuk pimpinan akan ada perubahan portfolio di mana Osman ada team (pasukan) dia, saya pun ada team saya.

"Saya akan memilih wakil rakyat yang saya selesa bekerja dengan mereka," katanya.

Pada masa sama kata Sahruddin tumpuan kerajaan negeri ialah bekerja bagi memastikan masyarakat Johor mendapat segala kemudahan yang dirancang sebelum ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertamanya sebagai menteri besar di Johor Bahru hari ini.