Deposit PAS untuk PRU14 dibiayai oleh Umno - Sarawak Report
  • 5 years ago
Portal yang berpengkalan United kingdom (UK) Sarawak Report hari mendakwa deposit untuk PAS bertanding dengan rekod jumlah kerusi tertinggi pada pilihan raya umum ke-14 dibiayai oleh Umno

Portal pendedah maklumat itu melaporkan seorang pembantu bekas bendahari Umno telah memasukkan wang tunai RM2.5 juta ke dalam akaun Bank Islam milik PAS.

Tambah portal itu lagi, kira-kira sejuta ringgit lagi juga dimasukkan secara tunai oleh Umno ke dalam akaun PAS pada masa yang sama dengan cara sama.

Sarawak Report berkata bukti-bukti berkenaan sepatutnya dikemukakan ke mahkamah London sebagai sebahagian daripada pembelaan editor Clare Rewcastle-Brown terhadap saman fitnah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, PAS telah menarik balik saman tersebut atas alasan kosnya terlalu mahal.

Abdul Hadi menyaman Rewcastle-Brown susulan dakwaannya bahawa Umno menyalurkan sejumlah RM90 juta kepada PAS dalam usaha untuk “melamar” parti itu menjelang pilihan raya umum ke-14.

Pada pilihan raya umum lalu, PAS bertanding di 155 kerusi, kerusi parlimen paling banyak yang dipertandingkan oleh mana-mana parti di negara ini.

Deposit untuk bertanding kerusi parlimen adalah RM10,000 manakala kerusi negeri pula bernilai RM5,000.