Isu bekas MP Umno masuk Bersatu, ini kata Guan Eng dan Mujahid
  • 5 years ago
Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima tujuh bekas Anggota Parlimen UMNO ke dalam parti itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Katanya beliau telah membangkitkan keperluan untuk membincangkan perkara itu dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH kepada Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad, yang bersetuju agar ia diadakan.

Semalam, enam bekas Anggota Parlimen UMNO iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) menerima kad keanggotaan Bersatu daripada Dr Mahathir.

Turut menerima kad keanggotaan Bersatu semalam ialah Anggota Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang menyertai Bersatu hujung tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), yang juga hadir di majlis itu berkata, penyertaan bekas anggota UMNO ke dalam mana-mana parti PH tidak bermakna mereka 'suci dari dosa lama'.

Beliau berkata sesiapa yang ingin menyertai PH perlu yakin dan menerima apa yang diperjuangkan pakatan itu.