'SPRM pun tepuk kepala tengok lif pejabat PAS'

  • 5 years ago
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS akan menjawab tuduhan bahawa parti itu menerima dana sebanyak RM2.5 juta daripada Umno di mahkamah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown yang memintanya agar menjelaskan kenyataan tidak konsisten mengenai dana berkenaan.

“SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dah siasat. Dia pergi ibu pejabat PAS, saya dimaklumkan dia tengok sendiri pejabat PAS pun rosak.

"Dia (pegawai SPRM) nak naik lif pun tak boleh, SPRM pun tepuk kepala tengok (pejabat PAS),” katanya kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra bersama komunti PAKR Sungai Kerak, Marang, malam tadi.

Ditanya mengenai sikap Clare yang dlihat masih memanjang-manjangkan isu penyelesaian saman di luar mahkamah itu, Abdul Hadi berkata PAS tidak tergugat dengan isu berkenaan.

Pada 2016, Clare menerusi portal Sarawak Report mendakwa PAS menerima wang berjumlah RM2.5 juta daripada Umno yang dipercayai sebahagian daripada dana RM90 juta.

Abdul Hadi juga menyifatkan serangan daripada Clare itu sebagai tindakan politik bagi melemahkan PAS sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).