Lebih 2,000 buruh Nepal mogok tidak dibayar gaji

  • 5 years ago
Hampir 2,000 pekerja Nepal di kilang pembuatan sarung tangan di Sepang mogok tiga hari menuntut pihak pengurusan membayar gaji.

Bagaimanapun memetik Malaysiakini, mereka menamatkan mogok tiga hari mereka semalam selepas pihak pengurusan berjanji untuk melangsaikan bayaran gaji mereka.

Sumber memberitahu Malaysiakini pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dari Bangi berada di tempat kejadian di premis syarikat awal hari ini untuk pemeriksaan, serta bertemu dengan pekerja yang mogok dan pihak pengurusan mereka.

Sumber berkata, dia dimaklumkan rakannya dari Nepal bahawa pegawai hal ehwal buruh dari Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur terlibat dalam perbincangan dengan pengurusan kilang tersebut pada awal hari ini.

Pada Disember lepas, siasatan The Guardian mendedahkan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan England menggunakan sarung tangan perubatan yang dibuat di kilang-kilang Malaysia dengan menggunakan pekerja asing yang didakwa menjadi buruh paksa.

Menurut laporan itu, para pekerja dikerahkan kerja lebih masa, terikat perhambaan hutang, bayaran gaji ditahan dan pasport mereka disita majikan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Sepang, Abdul Aziz Ali mengesahkan para pekerja telah berpiket di luar kilang itu sejak tiga hari yang lalu.

Walau bagaimanapun, Abdul Aziz berkata tiada kenyataan direkodkan daripada majikan kerana kes ini tidak melibatkan unsur jenayah.