Musa Aman diarah serah semula pasport

  • 5 years ago
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman agar menyerahkan semula pasportnya.

Ia selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwa agar keputusan membenarkan Musa memegang pasportnya - atas tujuan mendapatkan rawatan di luar negara - disemak semula.

Dalam membatalkan keputusan hakim Mahkamah Sesyen itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata tiada cadangan yang dibuat Musa bahawa beliau hanya boleh dirawat di Singapura atau United Kingdom.

"Beliau bertanggungjawab menunjukkan beliau memerlukan rawatan khas yang tiada dalam negara.

"Tertuduh hanya mendapatkan rawatan oleh doktor yang dipilihnya. Anggapannya adalah beliau boleh dirawat dalam negara ini dan penyakit yang dihidapinya daripada koronari boleh dirawat oleh doktor dalam negara. Korespondens (dengan doktor pakar luar negara) juga menunjukkan perkara sama," katanya.