Lokman Adam 'berapi-api' marahkan Asyraf cadang Zahid bercuti
  • 5 years ago
Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Lokman Noor Adam tidak menunggu lama untuk bangkit membidas cadangan Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki supaya presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercuti seketika daripada jawatan presiden sementara menunggu perbicaraannya di mahkamah selesai.

Menerusi sesi siaran langsung di Facebook, Lokman menyifatkan Asyraf tidak layak memegang jawatan itu kerana gagal melaksanakan tugas sebagai ketua pemuda.

"Ketua pemuda Umno sepatutnya menjadi kepala dalam memperjuang nasib rakyat...Dalam mempertahankan agama Islam, hak Melayu, bahasa Melayu dan Yang di-Pertuan Agong.

"Tetapi malangnya ketika presiden kita ditindas dan ditekan oleh Mahathir, kita pula menjadi bangsat dan meminta presiden untuk bercuti. Agenda siapa ini, Asyraf?" katanya dengan nada keras.

Ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat pemuda Umno semalam, Asyraf berkata Zahid wajar melepaskan sementara jawatan itu agar dapat memberi tumpuan kepada kes pertuduhannya di mahkamah.