Ubah wang haram RM735,500, bekas pengurus syarikat didakwa
  • 6 years ago
Seorang bekas pengurus sebuah syarikat pengendalian kupon makanan yang dilantik Malaysia Airlines Berhad (MAB) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM735,500, tiga tahun lepas.

Tertuduh Noraffendi Omar, 45, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Dr Gan Chee Keong.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa memperoleh masing-masing RM188,000 dan RM547,500 iaitu hasil pengubahan wang daripada akaun syarikat pengendalian kupon makanan bagi penumpang yang menghadapi masalah kelewatan penerbangan itu.

Dia dituduh melakukan kedua-dua perbuatan itu di RHB Bank Berhad, Menara Shell di sini antara 21 Sept 2015 dan 19 Mei 2016 mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama
Recommended