Bahana halang kenderaan, kereta bekas pembantu presiden MCA ranap

  • 6 years ago
Gara-gara menghalang sebuah kenderaan pacuan empat roda, bekas pembantu kepada presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyaksikan bukan sahaja keretanya ranap tetapi juga menerima bidasan daripada warga maya.

Rakaman kejadian itu yang menjadi tukar menunjukkan bahawa kereta Honda City milik Wong Thim Cheong dilertakkan dalam keadaan menghalang sebuah kenderaan Toyota Hilux, walaupun terdapat tempat letak kereta yang kosong di kawasan itu.

Pemilik Hilux itu kemudian dirakamkan terus melanggar kereta Wong berulang-kali.

Berdasarkan beberapa gambar yang dikongsi di media sosial, warga maya membidas Wong kerana menghalang kenderaan lain. Tidak kurang juga yang menempelak tindakan pemandu Hilux yang dianggap keterlaluan itu.

Wong ketika dihubungi enggan mengulas mengenai kejadian itu kerana ia kini menjadi siasatan polis selepas laporan dibuat.

"Apa kata netizens itu semua fitnah," katanya.

Menurut akhbar China Press, kejadian erlaku pada 5 Ogos lalu ketika hampir tengah malam di Raub, Pahang.

Laporan itu mendakwa pemandu Hilux keluar dari sebuah pub berdekatan dan menuju ke kenderaannya kira-kira jam 11.37 malam. Selang seminit kemudian, dia merempuh kenderaan Honda City itu.

Wong yang kebetulan duduk di kedai kopi berhampiran meluru dan meminta pemandu Hilux itu supaya tidak lagi melanggar keretanya tetapi tidak endahkan.

Memetik saksi, laporan akhbar itu mendakwa pemandu Hilux berkenaan tidak membunyikan hon selama 30 minit seperti yang didakwa oleh warga maya dan bahawa dia telah ditangkap.