Najib pertahan bonus RM5 juta pada Arul Kanda
  • 6 years ago
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mempertahankan bonus RM5 juta (ex-gratia) yang diberikan kepada ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Langkah itu dibuat selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam mendedahkan Najib merestui bayaran itu ketika menjadi menjawat jawatannya dan menjadi perdana menteri.

Ditanya di lobi parlimen hari ini, Najib berkata Arul dibayar lebih tinggi sebelum beliau menyertai syarikat pelaburan negara itu.

“Kerana dia dapat lebih banyak ketika bekerja dengan bank di Emeriah Arab Bersatu (UAE). Jadi dia rela terima gaji yang jauh lebih rendah bila sertai 1MDB.

“Jadi kamu mesti lihat dalam konteks sama ada apa yang dibayar padanya lebih kecil daripada apa yang dia dapat sebelum masuk 1MDB,” katanya.

Najib berkata Arul sudah menyelesaikan kerjanya menguruskan hutang syarikat itu.

“Beliau berjaya mengurangkan hutang dari RM50 bilion kepada RM30 juta,” katanya.

Menurut Lim, Arul dibayar RM2.5 juta pada Januari dan RM2.5 juta lagi pada Jun.