Berani buat, berani tanggung - Aliff Aziz
  • 6 tahun lalu
Layari Utusan Online (http://www.utusan.com.my) untuk mendapatkan lebih banyak informasi menarik dan berita terkini.

SHAH ALAM - Kehadiran penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz, 26, dalam dunia hiburan di Malaysia sejak awal lagi tidak dapat lari daripada terpalit dengan pelbagai isu kontroversi.

Walaupun Aliff seorang anak muda yang lembut tutur bicaranya dan mempunyai sepasang mata yang redup namun pelantun lagu Sayang Sayang ciptaan Panji ini mencetuskan kekecohan apabila beliau dikatakan telah memukul isterinya, Dayang Nabella Awang Astillah, 23, atau mesra dengan panggilan Bella di sebuah pusat karaoke yang terletak di Taman Shamelin, Cheras, Kuala Lumpur.

Ketika insiden itu berlaku, Bella baharu melahirkan anak sulung pasangan ini, masih dalam berpantang dan kurang lebih, baharu 20 hari berpantang.

Dalam kejadian pada 27 Julai (Khamis) lalu itu , Aliff dikatakan mengunjungi pusat hiburan berkenaan bersama seorang pelakon wanita yang juga merupakan adik kepada juga seorang pelakon, sambil berpegangan tangan.

Hubungan mesra Aliff dan pelakon wanita berkenaan yang turut sama berlakon bersama-sama dengan Aliff di dalam sebuah produksi, telah menimbulkan rasa tidak puas hati di pihak Bella.

Justeru Bella dengan ditemani oleh ibunya menyerbu pusat hiburan berkenaan dan berlaku pergelutan di antara beliau dan suaminya di hadapan pihak ketiga (aktres yang keluar bersama-sama dengan Aliff).

Kejadian itu menjadi tular di media sosial dan natijahnya Aliff sendiri telah ditangkap polis dan disumbat ke dalam lokap selama dua malam selepas Bella membuat laporan polis dan kes disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (a) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 .

Aliff dibebaskan dengan jaminan polis selepas isterinya menarik balik dakwaan dan semalam, Isnin, Aliff mengadakan sidang khabar dan dihadap para wartawan hiburan dan wakil media massa tempatan yang lain, Aliff memohon maaf kepada isterinya dan mengaku bersalah kerana menduakan isterinya atas tindakannya bersama wanita lain.