Yayasan Kumpulan Utusan - SDC tingkat pemanduan berhemah

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 1 Sept. – Buat julung kalinya, Yayasan Kumpulan Utusan dan Safety Driving Centre (SDC) bekerjasama dalam menghebahkan maklumat mengenai kesedaran keselamatan jalan raya.

Pengarah Eksekutif Kumpulan SDC, Adli Ahmad Ghazi berkata, pihaknya berpendapat kemala­ngan jalan raya yang melibatkan kematian mencatat peningkatan tetapi publisiti berkenaan kempen keselamatan amat kurang.

“Sebenarnya, pelbagai aktiviti berkaitan keselamatan jalan raya dianjurkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengurangkan kadar kemala­ngan, tetapi masyarakat seakan-akan tidak menghiraukannya.

“Oleh itu, dengan kerjasama ini kita berharap dapat meningkatkan kesedaran dan sikap pengguna jalan raya untuk terus berhemah ketika memandu atau menunggang kenderaan,” katanya kepada pemberita dalam majlis Pelancaran Penganugerahan Sijil Pelantikan Duta Keselamatan Jalan Raya SDC 2016 di sini hari ini.

Majlis yang dirasmikan Ketua Pengarah JKJR, Datuk Ariffin Che Mat itu turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Pengarah Eksekutif Yayasan Kum­pulan Utusan, Datuk Dr. A. Ganesh.

Dalam majlis tersebut, seramai 30 pelanggan SDC dan peserta yang mengikuti Kursus Pemanduan Berhemah baru-baru ini dianugerahkan sijil sebagai duta untuk menjadi pelatih dalam meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya kepada masyarakat.

Selain itu, Mohd. Noordin yang juga Pengerusi Yayasan Kum­pulan Utusan menyampaikan sijil kepada 13 kakitangan SDC sebagai tanda penghargaan khas.

Dalam pada itu, Adli berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan kempen kesedaran kepada pengguna jalan raya pada masa akan datang bersama Yayasan Kumpulan Utusan.
“Kita akan mencuba pelbagai aspek untuk mengembalikan semula kesedaran keselamatan kepada pengguna betapa pen­tingnya mengubah sikap ketika memandu.

“Jika pandai bawa kereta tetapi kurang peka dengan sekeliling juga tidak membantu mengurangkan kadar kemalangan. Kita berharap, dengan adanya pelantikan duta ini dapat membantu sekali gus mengurangkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

=================
Layari Utusan Online (http://www.utusan.com.my) untuk mendapatkan lebih banyak informasi menarik dan berita terkini.