Permatang Pauh: 87.5% pengundi awal selesaikan tanggungjawab

  • 6 tahun lalu
SEBERANG JAYA, 3 Mei - Seramai 549 atau 87.5% pengundi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh membuang undi pada hari pengundian awal yang diadakan di sini hari ini.

Para pengundi yang terdiri daripada anggota polis dan pasangan mereka mula membuang undi seawal pukul 9 pagi di dua pusat pengundian, masing-masing di berek kelamin Balai Polis Kubang Semang dan di Dewan Gemilang, Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.

Bagaimanapun, pengundian di Kubang Semang ditutup lebih awal pada pukul 2 petang kerana jumlah pengundi yang berdaftar di pusat itu hanya seramai 30 orang.

Pegawai Pengurus PRK Permatang Pauh, Jusni Ismail (gambar) berkata, proses pengundian tadi berjalan lancar dan menambah ada beberapa faktor yang menyebabkan peratusan yang turun mengundi tidak mencecah 90 peratus.

Jumlah pengundi berdaftar yang layak mengundi awal bagi kawasan ini adalah seramai 627 orang.

"Ada kemungkinan pengundi yang tidak dapat hadir kerana keuzuran, ataupun mungkin kerana mereka telah bertukar ke kawasan yang lain," kata Jusni selepas pusat pengundian di IPD ditutup pada pukul 5 petang.

PRK kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara calon BN, Suhaimi Sabudin; calon PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman; dan calon Bebas, Salleh Isahak.

Hari pembuangan undi sebenar PRK Permatang Pauh adalah pada 7 Mei ini. - UTUSAN ONLINE