Siti Nurhaliza rai Hari Ibu bersama 600 tetamu
  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 29 April - Artis tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza bakal menghiburkan 600 tetamu sempena sambutan Hari Ibu pada 15 Mei ini di Kristal Hall, TM Convention Centre (TMCC), Bangsar di sini.

Majlis yang diberi nama 'Mother's Day Miracle Night with Siti Nurhaliza' bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi mereka yang hadir juga berpeluang menikmati masakan istimewa oleh penyanyi itu.

"Pada malam itu nanti saya juga akan menghadiahkan barangan istimewa saya kepada Ibu yang bertuah. Inilah masanya kita bersama-sama meraikan insan paling istimewa dan bermakna dalam hidup setiap insan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Nouvelles Visages, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, selaku penaja utama majlis makan malam tersebut.

Sementara itu Erni Dekritawati berkata, sebanyak 30 orang anak yatim dari Pusat Jagaan Budaya Harapan akan turut diraikan pada malam tersebut.

"Ini merupakan tanggungjawab sosial di mana ia dapat memberi peluang kepada anak-anak ini menyaksikan persembahan artis terkenal, Datuk Siti Nurhaliza.

"Pelbagai aktiviti turut diadakan pada malam tersebut seperti pertunjukan fesyen, cabutan hadiah bertuah dan lain-lain," katanya. - UTUSAN ONLINE