Istana S'gor jawab dakwaan Idris

  • 6 years ago
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menafikan dakwaan Anggota Dewan Undangan Negeri Ijok, Idris Ahmad bahawa ADUN Sungai Tua Amirudin Shari mengangkat sumpah sebagai menteri besar tanpa mendapat konsensus daripada Pakatan Harapan.

Dalam satu kenyataan, istana Selangor berkata Sultan Sharafuddin pada 7 Jun lalu menerima sepucuk surat dari presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mencalonkan tiga ADUN bagi mendapat perkenan baginda dan ia secara tidak langsung membatalkan surat terdahulu yang ditulis oleh ketua-ketua parti politik negeri Selangor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Dalam sidang akhbar semalam, Idris mendakwa beliau mendapat sokongan semua pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan di Selangor, manakala Amirudin hanya mendapat sokongan bekas menteri besar Datuk Seri Azmin Ali.

Beliau menunjukkan surat pada Jun yang menyatakan sokongan kepadanya sebagai menteri besar ditandatangani secara berasingan oleh Wan Azizah, Pengerusi BERSATU Selangor Datuk Abdul Rashid Asari, Pengerusi AMANAH Selangor Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.

Menurut istana, setelah diteliti dan mendapatkan pandangan Azmin, Sultan Selangor telah berkenan dengan pelantikan Amirudin sebagai menteri besar yang baru.

Dalam kenyataan itu juga menjelaskan Sultan Selangor mempunyai kuasa budi biacara
dalam pelantikan seorang Menteri Besar sepertimana Artikel 51 dan Artikel 53 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Jelas pihak istana lagi, oleh itu adalah tidak bertepatan untuk ADUN Ijok mengatakan bahawa beliau dicalonkan untuk memegang jawatan Datuk Menteri Besar Selangor.

Sementara itu istana Selangor juga menafikan dakwaan Idris bahawa Azmin juga sebelum ini dilantik sebagai menteri besar tanpa mendapat restu daripada PAkatan Harapan.

Ini kerana pencalonan dibuat bersandarkan kepada fakta bahawa Azmin telah menjadi Menteri Besar Selangor sebelum ini dan telah menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau dengan penuh dedikasi serta telah membawa parti Pakatan Harapan memenangi kerusi yang lebih besar semasa pilihanraya yang lalu.