Kasino di Manila diserang

  • 7 years ago
Seorang lelaki bersenjatakan rifel merempuh masuk ke sebuah kasino dan melepaskan tembakan dan membakar meja judi di ibu negara Filipina, Manila pada awal hari Jumaat, tetapi tiada tanda-tanda yang serangan itu berkaitan dengan tindakan keganasan, kata ketua polis negara itu.

Ketua Polis Negara Filipina, Ronald dela Rosa memberitahu radio DZMM bahawa lelaki bersenjata itu tidak menghala senjatanya kepada orang ramai di kompleks hiburan Resorts World Manila, dan motifnya mungkin rompakan.

Tembakan dan letupan kuat bergema sejurus selepas tengah malam di bangunan berhampiran dengan Terminal Tiga Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino dan pangkalan tentera udara.

"Kami sedang melihat dari sudut rompakan kerana dia tidak mensasarkan orang ramai dan pergi terus ke bilik penyimpanan cip kasino.

"Dia letak kereta di tingkat dua dan merempuh masuk ke dalam kasino, menembak skrin TV besar dan men curahkan petrol di atas meja dan membakarnya."

Dela Rosa berkata, suspek itu berwajah "orang asing, Caucasian, tinggi kira-kira enam kaki". Lelaki bersenjata itu mungkin telah melarikan diri kerana asap mengkaburi rakaman kamera CCTV, katanya.

Seorang saksi Reuters melihat polis bersenjata memasuki sebuah hotel berhampiran kompleks itu. Video yang disiarkan sebelum ini di media sosial menunjukkan orang ramai melarikan diri ketika beberapa letupan kuat kedengaran.

Tiga belas orang dirawat di hospital berdekatan kerana terhidu asap, kata kakitangan hospital kepada Reuters.

Filipina diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di tengah-tengah krisis di selatan negara itu, di mana tentera bertempur dengan pemberontak Islam sejak 23 Mei.

Presiden Rodrigo Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera di pulau selatan Mindanao minggu lepas.

Presiden AS Donald Trump berkata Washington sedang memantau peristiwa yang berlaku di Manila.

AS memberitahu rakyatnya yang berada di bandaraya itu supaya berhati-hati dan mengkaji semula keselamatan peribadi mereka.